Monday, March 9, 2009

Yang Dipertuan Agong: Perlaksanaan dan tugas

1.0 Pengenalan.
Gelaran Yang di-Pertuan Agong merupakan gelaran rasmi ketua negara Malaysia. Gelaran rasmi yang penuh adalah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Oleh sebab Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan, peranan Yang di-Pertuan Agong kebanyakannya hanyalah sebagai istiadat. Perlembagaan menyatakan dengan jelas bahawa kuasa eksekutif, secara teorinya di bawah kuasa ketua negeri, dilaksanakan oleh (atau dengan nasihat) Kabinet diketuai oleh Perdana Menteri. Ciri yang unik di seluruh dunia dalam sistem pemerintahan beraja Malaysia, jawatan ini digilirkan setiap lima tahun antara sembilan Pemerintah Negeri Melayu. Apabila menjawat jawatan Yang di-Pertuan Agong, seorang kerabat diraja akan dilantik sebagai Pemangku dalam negeri tersebut.
1.1 Sejarah Yang Dipertuan Agong.
Jawatan Yang di-Pertuan Agong diwujudkan hasil daripada Suruhanjaya Reid yang merangka Perlembagaan Persekutuan.Cadangan jawatan Yang di-pertuan Agong timbul berikutan tentangan terhadap penubuhan Malayan Union yang dilihat ingin menghapuskan Institusi Raja-Raja Melayu. Pada Ogos 1957, setelah memilih gelaran Yang di-Pertuan Agong dan menolak gelaran Yang di-Pertuan Besar yang dicadangkan sebelum itu, Majlis Raja-Raja telah bersidang untuk mengundi pemegang takhta yang pertama.
Jika menurut tempoh lama memerintah, Major-Jeneral Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar (Sultan Johor) yang dilantik menjadi pada tahun 1895, merupakan sultan yang paling lama memerintah tetapi baginda menolak perlantikan tersebut disebabkan telah lanjut usia (ketika itu baginda berusia 84 tahun). Kemudian yang kedua dalam turutan, Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Abdullah Al-Mutassim Billah Shah (Sultan Pahang) yang memerintah pada tahun 1932, tidak mendapat mandat secukupnya untuk dilantik. Selepas itu yang lama memerintah seterusnya ialah Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dari Negeri Sembilan, yang menaiki takhta pada tahun 1933, kemudiannya telah dilantik menjadi Yang Dipertuan Agong Pertama.
2.0 Pengiliran Yang Dipertuan Agong.
Sistem penggiliran jawatan Yang di-Pertuan Agong setiap lima tahun dianggap unik. Ini kerana ia menggabungkan tradisi feudal berasaskan keturunan darah dengan konsep moden berasaskan perlembagaan. Malaysia satu-satunya negara di dunia yang mengamalkan sistem penggiliran ketua negara. Sistem penggiliran hanya diberikan kepada Raja-Raja Melayu dari negeri yang dulunya dikenali Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri Melayu tidak bersekutu. Negeri Bersekutu terdiri daripada Perak, Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang. Manakala Negeri Melayu tidak bersekutu Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor. Sementara itu Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak tidak berpeluang walaupun mereka menganggotai Majlis Raja-Raja.
Selepas kitaran pertama sembilan Yang di-Pertuan Agong (1957-1994), aturan menurut pemerintah negeri adalah menurut kitaran yang telah digunakan sebelum itu, iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak. Yang di-Pertuan Agong akan melantik sebagai istiadat iaitu Yang di-Pertua Negeri, atau Gabenor, kepada 4 buah negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah and Sarawak. Yang di-Pertuan Agong yang ke-13 (sekarang) adalah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni AlMarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj dari Terengganu.
2.1 Pemilihan Yang Dipertuan Agong.
Pemilihan Yang di-Pertuan Agong berdasarkan kepada sistem giliran yang telah ditetapkan. Terdapat beberapa faktor yang akan dipertimbangkan oleh Majlis Raja-Raja melalui undi rahsia bagi menentukan pengganti bagi jawatan Yang di-Pertuan Agong seterusnya. Syarat-syarat untuk menjadi Yang Dipertuan Agong ialah kekanan di kalangan Sultan dan Raja. Seterusnya baginda sendiri berkenan menjadi Yang Dipertuan Agong. Selain itu baginda juga tidak mengalami kelemahan atau ketidak upayaan mental. Baginda juga merupakan Raja yang berada di kedudukan teratas semasa pengundian dijalankan. Baginda juga mesti mendapat sokongan sekurang-kurangnya lima raja lain dan baginda bukanlah yang sudah memegang jawatan Yang Dipertuan Agong selama dua penggal berturut-turut.
Faktor lain ialah usia dan tempoh masa pemerintahan dan kalau kita lihat daripada aspek status atau peranan yang dimainkan oleh Yang Dipertuan Agong, usia dan tempoh masa pemerintahan seseorang Raja di sesebuah negeri amat penting kerana apabila baginda telah menjalankan pemerintahan dalam tempoh yang lama ini dapat menggambarkan kematangannya terhadap cara pemerintahan. Hanya yang terpilih sahaja boleh dipilih iaitu menurut darah keturunan tetapi didalamnya itu tersemat dan tersisip peraturan yang bercorak demokrasi moden iaitu pemilihan secara moden. Keunikan tradisinya sejak 1957 , kuasa yang dimiliki oleh Yang di-Pertuan Agong mengatasi segala Raja-Raja Melayu sepanjang tempoh perlantikannya. Jika dibandingkan dengan England, Ratu Elizabeth II, baginda tidak seunik Malaysia kerana ia datang dari satu keluarga sahaja. Tetapi uniknya Malaysia ia datang dari sembilan Sultan yang memerintah Negeri-Negeri Melayu.
3.0 Peranan Yang Dipertuan Agong.
Menurut Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan mestilah ada seorang Ketua Negara Persekutuan yang digelar Yang di-Pertuan Agong. Baginda mengatasi semua orang dalam Persekutuan dan yang tidak boleh didakwa dalam mana-mana mahkamah kecuali Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian 15 (Perkara 182 dan 183). Selepas baginda, Perlembagaan juga memperuntukkan bahawa Raja Permaisuri Agong hendaklah menduduki tempat kedua iaitu selepas Yang di-Pertuan Agong.
Yang Dipertuan Agong berperanan besar di dalam tiga bidang utama pentadbiran negara iaitu badan perundangan, eksekutif dan kehakiman. Di dalam ketiga-tiga badan ini, baginda merupakan ketua kepada ketiga-tiganya. Di peringkat perundangan kuasa perundangan persekutuan terletak pada Parlimen dan mengikut peruntukan Perkara 44 Pelembagaan Persekutuan dan Yang Dipertuan Agong merupakan salah satu unsur Parlimen. Bagi badan eksekutif pula, kuasa eksekutif persekutuan terletak pada Yang Dipertuan Agong menurut peruntukan Perkara 39 Persekutuan. Namun begitu menurut pekara 40 telah menetapkan bahawa baginda hanya boleh bertindak atas nasihat kecuali untuk beberapa pekara tertentu. Sementara di dalam bidang kehakiman, baginda adalah sumber keadilan dan melantik Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan dan lain-lain hakim. Perkara ini diperuntukan di dalam perkara 122 ( b) Perlembagaan Persekutuan.
3.1 Peranan Yang Dipertuan Agong di Dalam Bidang Perundangan.
Kuasa perundangan Persekutuan adalah terletak kepada Parlimen yang mengandungi Yang di-Pertuan Agong dan dua majlis yang dinamakan Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Oleh kerana Yang di-Pertuan Agong adalah sebahagian daripada komponen Parlimen, maka baginda mempunyai kuasa-kuasa tertentu. Antaranya ialah baginda boleh memanggil Parlimen bermesyuarat dari masa ke semasa dan baginda juga boleh memberhentikan dan membubarkan parlimen. Namun begitu sehingga sekarang kes seumpama ini tidak pernah lagi terjadi melainkan semasa tahun 1969 apabila digantung oleh Yang Dipertuan Agong, Tuanku Ismail Nasiruddin apabila berlaku rusuhan kaum dan digantikan dengan MAGERAN atau Majlis Gerakan Negara.
Yang Dipertuan Agong juga boleh memberi ucapan di dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Baginda juga berangkat untuk merasmikan persidangan bagi setiap penggal persidangan kedua-dua dewan ini. Yang Dipertuan Agong juga bertanggungjawab di dalam memperkenankan rang undang-undang sebelum diwartakan. Namun begitu sekiranya baginda tidak memperkenankankan dalam masa 30 hari, maka rang undang-undang ini dianggap telah diperkenankan secara automatik.

Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai kuasa untuk melantik dua orang senator untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan seorang untuk Wilayah Persekutuan Labuan. Di samping itu baginda juga mempunyai kuasa untuk melantik empat puluh orang senator lagi. Para senator yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong ini adalah, pada pandangan baginda, terdiri daripada orang-orang yang terkemuka dalam masyarakat dan banyak memberi sumbangan kepada masyarakat. Selain dari tokoh-tokoh yang terkemuka dalam bidang ikhtisas seperti perdagangan dan industri, pertanian, kegiatan kebudayaan dan sosial, tokoh-tokoh yang mewakili kaum minoriti seperti orang asli juga dipilih.
3.2 Peranan Yang Dipertuan Agong Dalam Bidang Kehakiman.
Yang di-Pertuan Agong juga memainkan peranan penting dalam bidang kehakiman. Adalah juga menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, Hakim-hakim Mahkamah Agung, Hakim-hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi atas nasihat Perdana Menteri setelah dirundingkan dengan Majlis Raja-Raja. Di samping itu juga baginda boleh melantik mana-mana orang yang layak dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi untuk menjadi Pesuruhjaya Kehakiman (yang mempunyai kuasa sebagai Hakim Mahkamah Tinggi) atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan (satu langkah sementara sebelum pelantikan tetap sebagai Hakim Mahkamah Tinggi).
Selain itu, Yang di-Pertuan Agong juga boleh memanjangkan perkhidmatan seorang hakim yang berumur lebih 65 tahun. Bagaimana pun lanjutan perkhidmatan itu tidak melebihi enam bulan setelah mencapai umur 65 tahun. Seorang hakim Mahkamah Persekutuan boleh meletakkan jawatan pada bila-bila masa dengan cara menulis surat perletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Mengenai penyingkiran hakim pula, Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Perdana Menteri atau Ketua Hakim Negara selepas berunding dengan Perdana Menteri, mengemukakan presentasi kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa seorang hakim Mahkamah Persekutuan hendaklah disingkirkan atas alasan berkelakuan tidak senonoh, atau ketidakupayaannya menjalankan tugas kerana kesihatan ataupun fikiran terganggu atau lain-lain alasan. Selepas menerima representasi itu Yang di-Pertuan Agong akan melantik satu tribunal untuk memberi cadangan, dan mungkin atas cadangan tribunal itu menyingkirkan hakim dari jawatannya.
Perlu diingatkan bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai kuasa untuk menyingkirkan seseorang hakim atas kemahuannya. Hanya melalui representasi yang dibuat oleh Perdana Menteri atau Ketua Hakim Negara dan selepas menerima laporan tribunal maka Yang di-Pertuan Agong boleh menyingkirkan seseorang hakim itu dari jawatannya. Sungguhpun begitu Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan budi bicara baginda untuk menerima ataupun menolak cadangan–cadangan tribunal dalam menyingkirkan atau mengekalkan hakim itu pada jawatannya.
3.3 Peranan yang Dipertuan Agong Dalam Bidang Eksekutif.
Kuasa pemerintah bagi Persekutuan adalah terletak pada Yang di-Pertuan Agong dan tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan dalam Jadual Kedua, kuasa itu boleh dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberikuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh dengan undang-undang memberi tugas-tugas pemerintah kepada orang-orang lain.
Dalam menjalankan tugas-tugasnya di bawah Perlembagaan ini atau di bawah undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana diperuntukkan selainnya oleh Perlembagan tetapi Yang di-Pertuan Agong adalah berhak, atas permintaannya, mendapat apa-apa maklumat mengenai pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.
Begitu juga menjalankan fungsi-fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu. Walaupun Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat Kabinet atau Menteri atau selepas berunding atau atas cadangan seseorang ataupun sesuatu pertubuhan (yang lain dari Kabinet) tetapi dalam pelaksanaan tiga fungsi Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicara baginda. Pelantikan Perdana Menteri adalah berdasarkan kemampuan calon tersebut mendapat suara terbanyak dalam Parlimen. Pemilihan ahli-ahli Kabinet dan Timbalan-Timbalan Menteri adalah atas nasihat Perdana Menteri. Malah baginda juga boleh untuk tidak membubarkan parlimen, meminta supaya di adakan suatu mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan mengambil apa-apa tindakan dalam mesyuarat itu.
Walaupun Perlembagaan (Fasal 39) memberi kuasa eksekutif kepada Yang di-Pertuan Agong, namun menurut undang-undang Persekutuan dan Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan, Parlimen boleh memberikan fungsi eksekutif itu kepada orang lain. Sungguhpun terdapat beberapa pengecualian dalam Perlembagaan tentang kuasa dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong namun lazimnya baginda menerima nasihat dari Kabinet, lebih tepat lagi, Perdana Menteri. Walaubagaimanapun, Yang diPertuan Agong berhak dan atas kemahuannya meminta segala maklumat mengenai kerajaan Persekutuan yang diberikan kepada Kabinet.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merupakan Pemerintah Tertinggi bagi Angkatan Bersenjata Persekutuan, seperti yang diperuntukan dalam Perkara 41. Baginda merupakan Jeneral Tertinggi di dalam tentera dan baginda mempunyai kuasa untuk mengampunkan kesalahan di dalam mahkamah tentera. Malah baginda boleh mengarahkan tentera dengan budi bicara baginda dan kuasa tentera terletak di tangan baginda. Semasa perarakan panji-panji diraja, Yang Dipertuan Agong akan berangkat untuk menyempurnakan istiadat tersebut.
Salah satu tanggungjawab yang penting oleh Yang di-Pertuan Agong ialah menjaga hak istimewa orang-orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Hal ini dijelaskan dalam Fasal 153 (1) dalam Perlembagaan Persekutuan. Di dalam Perkara 153 ini ia menyentuh mengenai perezapan kuota mengenai perkhidmatan, permit dan lesen perdagangan untuk Bumiputera Sabah dan Sarawak. Kuota pendidikan ke Tingkatan Enam, kursus Matrikulasi dan universiti juga disediakan untuk Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak selain pemberian biasiswa setakat mana kemampuan kerajaan.
4.0 Yang Dipertuan Agong Sebagai Ketua Agama.
Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menghendaki Perlembagaan Negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak membuat peruntukan yang menetapkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam di Negeri-negeri tersebut. Baginda juga merupakan Ketua Agama Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan serta di negeri asalnya. Baginda juga melantik jawatan tertentu bagi Negeri-negeri Pulau Pinang, Melaka dan Wilayah Persekutuan atas nasihat Majlis Agama Islam Negeri-negeri berkenaan. Bagi negeri-negeri Sabah dan Sarawak kuasa pelantikan ini telah diturunkan kepada Yang di-Pertua Negeri oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Di dalam Pelembagaan Persekutuan pekara 3 mengariskan agama Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Dalam tiap-tiap Negeri melainkan Negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja, kedudukan Raja sebagai Ketua agama Islam dalam negerinya secara dan setakat mana yang diakui dan diisytiharkan oleh Perlembagaan negeri itu dan juga tertakluk kepada Perlembagaan Negeri itu, segala hak, keistimewaan, hak kedaulatan dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua agama Islam tidaklah tersentuh dan tercacat tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja supaya meliputi seluruh Persekutuan, maka tiap-tiap orang Raja lain hendaklah atas sifat-sifatnya sebagai Ketua agama Islam membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakilinya.
5.0 Kuasa Pengampunan.
Yang di-Pertuan Agong juga merupakan sumber pengampunan dan mempunyai kuasa untuk mengurniakan pengampunan dan menangguhkan hukuman bagi kesalahan-kesalahan yang dibicarakan oleh mahkamah tentera dan juga bagi semua kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan. Hal ini diperuntukkan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Yang di-Pertuan Agong adalah berkuasa mengampun dan menangguhkan hukuman-hukuman mengenai segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh Mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan Raja atau Gabenor sesuatu Negeri adalah berkuasa mengampun dan menangguhkan hukuman-hukuman mengenai segala kesalahan lain yang dilakukan di Negerinya.
Yang Dipertuan Agong tertakluk kepada Fasal (10), dan tanpa menyentuh mana-mana peruntukan undang-undang persekutuan berhubung dengan remitan hukuman kerana berkelakuan baik atau khidmat khas, apa-apa kuasa yang diberi oleh undang-undang persekutuan atau undang-undang Negeri bagi menggantung atau mengurangkan hukuman bagi sesuatu kesalahan boleh dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong jika hukuman itu telah dijatuhkan oleh mahkamah tentera atau oleh sesuatu mahkamah sivil yang menjalankan bidang kuasa dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dan, dalam apa-apa hal lain kuasa itu boleh dijalankan oleh Raja atau Yang Dipertua Negeri bagi Negeri di mana kesalahan itu telah dilakukan.
Menurut pekara 40 ( 3) menyatakan setakat mana kuasa-kuasa pengampunan boleh dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong, ialah antara tugas-tugas yang peruntukan mengenainya boleh dibuat oleh undang-undang. Yang Dipertuan Agong juga hendaklah dijalankan mengikut nasihat Jemaah Pengampunan yang ditubuhkan bagi Negeri itu mengikut Perkara 40 (5). Menurut Perkara ( 5 ) Jemaah Pengampunan yang ditubuhkan bagi setiap Negeri hendaklah mengandungi Peguam Negara Persekutuan, Ketua Menteri Negeri itu dan tidak lebih daipada tiga orang ahli lain yang dilantik oleh Raja atau Yang Dipertua Negeri tetapi Peguam Negara boleh dari semasa ke semasa dengan suratcara mewakilkan tugas-tugasnya sebagai seorang ahli Jemaah itu kepada seseorang lain, dan Raja atau Yang Dipertua Negeri boleh melantik seseorang untuk menjalankan bagi sementara tugas-tugas seseorang ahli Jemaah yang dilantik olehnya yang tidak hadir atau tidak berupaya menjalankan tugasnya. Sebelum Jemaah Pengampunan memberi nasihatnya mengenai apa-apa perkara ia hendaklah menimbangkan apa-apa pendapat bertulis yang mungkin telah dikemukakan oleh Peguam Negara mengenai perkara itu.
Walau apa pun yang tersebut dalam Perkara ini, kuasa bagi mengampun dan menangguhkan hukuman-hukuman, menggantung atau mengurangkan hukuman-hukuman yang dijatuhkan oleh mana-mana Mahkamah yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang yang mengawal hal ehwal agama Islam di Negeri atau Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya hendaklah dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua agama Islam dalam Negeri itu. Bagi maksud Perkara ini, maka hendaklah ditubuhkan hanya satu Jemaah Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dan peruntukkan-peruntukkan di dalam Perkara 40 Fasal (5), (6), (7), (8) dan (9) hendaklah dipakai mutates mutandis bagi Jemaah Pengampunan di bawah Fasal ini kecuali bahawa sebutan mengenai “Raja atau Yang di-Pertua Negeri” hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Yang di-Pertuan Agong dan sebutan mengenai “Ketua Menteri negeri itu” hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Jika ada pengampunan melibatkan anak-anak raja atau isteri-isteri raja, pengampunan hendaklah melalui Yang Dipertuan Agong dan tidak boleh diampunkan oleh Sultan negeri itu sendiri. Begitu juga kesnya dengan sekiranya anak-anak atau isteri dan permaisuri Yang Dipertuan Agong, baginda tidak boleh mengampunkannya tetapi hanya boleh diampunkan oleh Sultan negeri lain. Di dalam prosiding pengampunan ini, Yang di-Pertuan Agong tidak boleh disertai oleh Perdana Menteri dan Raja-Raja lain tidak boleh disertai oleh Menteri-Menteri Besarnya.

6.0 Yang Dipertuan Agong Dalam Mengisytiharkan Darurat.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong setelah berpuas hati mengikut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bahawa suatu darurat besar yang sedang berlaku seperti keselamatan, kehidupan, ekonomi atau ketenteraan awam dalam Persekutuan atau negeri-negeri dalam keadaan terancam maka baginda boleh mengeluarkan suatu Perisytiharan Darurat. Di dalam Perkara 150 ini menyatakan juga Perisytiharan Darurat di bawah Perkara 150 Fasal (1) boleh dikeluarkan sebelum kejadian sebenar berlaku yang boleh mengancam keselamatan atau ekonomi atau ketenteraaan awam dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa ada kemungkinan yang hampir akan berlakunya kejadian yang mengancamkan itu.
Kuasa yang diberi kepada Yang di-Pertuan Agong oleh perkara ini hendaklah termasuk kuasa mengeluarkan perisytiharan-perisytiharan yang berlainan atas alasan-alasan yang berlainan atau dalam hal-hal keadaan yang berlainan, sama ada suatu perisytiharan atau Perisytiharan-perisytiharan telah pun dikeluarkan atau tidak oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150 Fasal (1) dan Perisytiharan atau Perisytiharan-perisytiharan itu ada berkuatkuasa. Yang Dipertuan Agong boleh mengunakan ordinan-ordinan di bawah Perkara 150 Fasal (2b) bagi mengisytiharkan darurat. Menurut Perkara 150 Fasal ( 7 ) menyatakan enam bulan dari tarikh perisyitiharan darurat itu berkuasa, mana-mana ordinan yang disytiharkan atau apa-apa undang-undang yang dibuat semasa pengisytiharkan itu hendaklah terhenti berkuatkuasa kecuali perkara-perkara yang dilakukan atau tidak dilakukan sebelum berakhirnya enam bulan tersebut.
7.0 Yang Dipertuan Agong Sebagai Simbol Perpaduan dan Lambang Negara.
Sebagai Ketua Negara, Yang Dipertuan Agong merupakan lambang dan simbol kepada perpaduan rakyat yang pelbagai kaum, agama dan adat istiadat. Seseorang Raja Berpelembagaan selalunya dikaitkan hanya sebagai pemerintah tanpa kuasa dan lambang sahaja. Namun di Malaysia, Yang Dipertuan Agong sangat unik kuasanya. Walaupun ada beberapa pihak berpendapat baginda memerintah tanpa kuasa, anggapan sebegini adalah tidak benar kerana baginda sebenar mempunyai kuasa tertentu yang mengatasi Perdana Menteri dan jemaah menteri. Dari segi konsep simbol perpaduan, baginda mempunyai tanggungjawab bagi menjaga rakyat Malaysia dan tidak membezakan ras dan warna kulit. Malah ada di kalangan sarjana menganggap peranan Yang Dipertuan Agong di Malaysia sangat unik dan kadang kala ia menyebabkan ramai yang ingin mengkaji mengenainya.
PenglibatanYang Dipertuan Agong di dalam masyarakat merupakan salah satu cara baginda mengeratkan lagi baginda dengan rakyat. Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong adalah menjadi penaung setelah dirundingkan dengan Jabatan Perdana Menteri kepada beberapa pertubuhan, kesatuan dan badan-badan sukarela dalam Malaysia. Antaranya Yang Dipertuan Agong menjadi penaung kepada Ex-Services Association of Malaya, Persatuan Pertolongan Cemas St. John, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan banyak lagi.
Terdapat juga Yang Dipertuan Agong yang dekat dengan rakyat dan sering memantau rakyat. Malah ada di kalangan Yang Dipertuan Agong mengetepikan protokol untuk bersama-sama dengan rakyat di dalam majlis-majlis keraian. Semasa perayaan-perayaan dan rumah terbuka, Yang Dipertuan Agong tidak pernah ketinggalan bersama-sama rakyat memeriahkan acara sedemikian. Perkara ini menjadi perhatian kepada orang luar yang melihat bagaimana rajanya begitu akrab dengan rakyat walaupun ada protokol. Malah ungkapan raja dan rakyat tidak berpisah mengambarkan bagaimana mesranya Yang Dipertuan Agong di Malaysia dengan rakyatnya. Contoh Yang Dipertuan Agong yang rapat dengan rakyat ialah DYMM Sultan Haji Ahmad Shah ( Yang Dipertuan Agong ke-7). Atas perkara inilah telah menarik perhatian pelancong datang ke Malaysia untuk melihat sendiri keunikan Raja Berpelembagaan di Malaysia.
Selain itu baginda juga menjadi simbol kepada perpaduan rakyat Malaysia. Yang Dipertuan Agong merupakan lambang ketaatan setia rakyat kepada negara. Hal ini lebih kurang sama dengan ketaatan rakyat Thailand kepada rajanya. Peranan Yang Dipertuan Agong bagi memastikan perpaduan sangat penting dan baginda juga boleh mengunakan kausa yang diperuntukkan kepada baginda bagi memastikan perpaduan dan keamanan di negara terpelihara daripada ancaman-ancaman musuh.
8.0 Sekatan Terhadap Yang Dipertuan Agong.
Di dalam menjalankan tugasan baginda sebagai Raja Pelembagaan di peringkat Persekutuan, baginda tidak boleh menjalankan tugas-tugasnya sebagai raja di negeri baginda kecuali sebagai ketua agam Islam, meminda Perlembagaan Negeri. Bagi mengantikan baginda, seorang putera raja biasanya Raja Muda atau Tunku Mahkota akan dilantik menjadi Pemangku Raja. Pemangku Raja ini akan menjalankan tugas Raja atau Sultan yang dipilih menjadi Yang Dipertuan Agong ini. Contohnya semasa Sultan Azlan Muhibuddin Shah dilantik menjadi Yang Dipertuan Agong, Dewan Negara Perak dengan perkenan Sultan Azlan telah melantik Raja Muda Nazrin sebagai pemangku Sultan.
Menurut Perkara 34 ( 3 ) menyatakan Yang Dipertuan Agong tidak boleh memegang apa-apa jawatan yang memberinya saraan. Yang Dipertuan Agong juga tidak boleh menerima apa-apa juga jenis pendapatan yang kena dibayar kepadanya sebagai Raja Negerinya di bawah peruntukan Perlembagaan Negerinya itu atau peruntukan mana-mana Undang-Undang Negeri. Yang Dipertuan Agong juga tidak boleh mengambil
bahagian dalam politik dan apa-apa syarikat secara aktif. Yang Dipertuan Agong seharusnya berkecuali dan bebas daripada pengaruh parti-parti politik.
Yang di-Pertuan Agong tidak boleh, dengan tiada persetujuan Majlis Raja-Raja, meninggalkan Persekutuan selama lebih daripada lima belas hari, kecuali atas lawatan Negara ke suatu negera lain. Jika Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan atau mana-mana orang lain yang dibenarkan oleh undang-undang menjalankan tugas Yang di-Pertuan Agong selama tempoh lebih daripada lima belas hari maka Perkara 34 (1) hingga (5) hendaklah dipakai baginya selama tempoh itu sebagaimana fasal-fasal itu dipakai bagi Yang di-Pertuan Agong.
9.0 Mahkamah Khas Raja
Menurut Perkara 183 tiada tindakan boleh dimulakan terhadap Yang Dipertuan Agong atau Raja kecuali dengan keizinan Peguam Negara sendiri. Tiada tindakan, sivil atau jenayah, boleh dimulakan terhadap Yang di-Pertuan Agong atau Raja sesuatu negeri berkenaan dengan apa-apa jua yang dilakukan atau ditinggalkan daripada dilakukan olehnya atas sifat peribadinya kecuali dengan keizinan Peguam Negara sendiri. Mahkamah Khas hendaklah mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk membicarakan segala kesalahan yang dilakukan di Persekutuan oleh Yang Dipertuan Agong atau Raja sesuatu Negeri dan segala kes sivil oleh atau terhadap Yang Dipertuan Agong atau Raja sesuatu Negeri walau di mana pun kuasa tindakan berbangkit.
Mahkamah Khas hendaklah mempunyai bidang kuasa dan kuasa-kuasa yang sama seperti yang terletakhak pada mahkamah-mahkamah bawahan, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan melalui Perlembagaan ini atau mana-mana undang-undang persekutuan dan hendaklah mempunyai pejabat pendaftarannya di Kuala Lumpur. Menurut Perkara 183 (5), melalui undang-undang, membuat peruntukan khas yang berlawanan berkenaan dengan prosedur (termasuk pendengaran prosiding secara tertutup) dalam kes-kes sivil atau jenayah dan undang-undang yang mengawalselia keterangan dan pembuktian dalam prosiding sivil dan jenayah, maka amalan dan prosedur yang terpakai dalam mana-mana prosiding dalam mana-mana mahkamah bawahan, mana-manaMahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan hendaklah terpakai dalam mana-mana prosiding dalam Mahkamah Khas.
Yang Dipertuan Agong atau Raja perlulah berhenti daripada menjalankan tugasnya ketika perbicaraan kes jenayah sedang berlangsung. Jika Yang Dipertuan Agong atau Raja dipenjarakan oleh Mahkamah Khas untuk satu hari atau lebih, baginda mestilah turun daripada takhta atau negeri. Prosiding dalam Mahkamah Khas hendaklah diputuskan mengikut pendapat majoriti anggota dan keputusannya adalah muktamad dan konklusif dan tidak boleh dicabar atau dipertikaikan dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan. Yang Dipertuan Agong atau Raja tidak boleh mengampuni diri sendiri. Pengampunan hanya boleh dilakukan oleh Majlis Raja-Raja dengan syarat pendapat Peguam Negara patut diambil kira. Kes pertama yang melibatkan seorang raja dibicarkan ialah kes Sultan Ahmad Shah melawan Farah Begum yang berakhir kes ini dibuang.

10.0 Kesimpulan
Secara kesimpulannya dapat dirumuskan bahawa peranan Yang Dipertuan Agong sebagai Raja Pelembagaan boleh dibahagikan kepada tiga yang utama iaitu perundangan, eksekutif dan kehakiman. Sebagai Raja Pelembagaan baginda merupakan ketua bagi ketiga-tiga badan tersebut selain dari menjadi ketua negara Malaysia. Selain itu Yang Dipertuan Agong juga berperanan dalam menjadi ketua agama Islam Persekutuan disamping tanggungjawab di dalam menjaga hak rakyat dan hak-hak istimewa Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak.
Di samping itu Yang Dipertuan Agong juga mempunyai kuasa untuk mengisyhtiharkan darurat serta merupakan ketua angkatan tentera. Baginda juga menjadi lambang kepada perpaduan rakyat dan simbol kepada keharmonian dan ketaatan rakyat kepada negara. Selain itu, peranan Yang Dipertuan Agong di dalam mendekatkan diri dengan rakyat amatlah dialu-alukan kerana ia merupakan salah satu cara bagi mendekatkan diri dengan rakyat. Namun begitu Yang Dipertuan Agong juga mempunyai sekatan-sekatan tersendiri sebagai Raja Berpelembagaan. Malah yang Dipertuan Agong boleh didakwa di Mahkamah Khas Raja-Raja jika ada aduan dengan persetujuan Peguam Negara. Walaupun pelbagai perubahan di dalam institusi beraja di dunia ini, namun sistem Yang Dipertuan Agong sebagai ketua negara yang berdaulat dikekalkan. Krisis pelembagaan dan banyak lagi cubaan untuk menghapuskan iminuti Raja-Raja Melayu berlaku namun Yang Dipertuan Agong tetap kekal sebagai ketua negara dan Raja Berpelembagaan.

No comments: