Wednesday, February 25, 2009

Setelah melengkapkan Jadual 1, menulis rancangan pengajaran dan dan membuat jadual pelaksanaan rancangan pengajaran, anda seterusnya perlu membuat pen

Intelek, rohani, emosi, dan jasmani ialah potensi yang ada pada setiap individu. Setiap potensi yang ada pada individu boleh berkembang ke tahap maksimum jika peluang secukupnya diberi untuk perkembangannya. Pendidikan memainkan peranan utama dalam memeperkembangkan potensi yang ada pada individu. Pendidikan juga mampu melahirkan individu yang berilmu, mulia, berbudi pekerti yang tinggi, sopan, bertanggungjawab, berketerampilan, dan sebagainya. Pertumbuhan dan perkembangan yang berlaku dengan sempurna perlu melibatkan potensi intelek, rohani, emosi, dan jasmani. Pendidikan menumpukan kepada pembinaan fikiran bijaksana yang rasional selain daripada usaha membina membina jiwa manusia yang murni ataupun dengan kata ringkas ia melibatkan intelek, rohani, emosi, dan jasmani. Pertumbuhan dan perkembangan yang berlaku pada manusia menyebabkan perubahan berlaku pada individu. Ini bertepatan dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan individu yang bersahsiah baik, berketerampilan seterusnya seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani tanpa mengenepikan kepercayaan dan kepatuhan kepada perintah tuhan.
Unsur jasmani dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan lebih menekankan kepada kecergasan fizikal, mental dan kesihatan diri yang dapat menggunakan anggota dan tenaga fizikal sendiri untuk berdikari dan hidup bermasyarakat. Unsur rohani juga menerapkan kepada penghayatan nilai-nilai murni dan norma masyarakat serta mempertingkat kemantapan jiwa seseorang. Bagi unsur emosi pula, ia saling berkait rapat kepada perasaan sesorang individu yang seterusnya dapat menanamkan semangat berbakti dan cintakan tanah air. Unsur intelek dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini menjelaskan mengenai peristiwa yang berlaku bedasarkan kepada kebenaran dan kemanfaatan manakala unsur rohani pula berkaitan dengan keagamaan dan kepercayaan serta keyakinan kepada tuhan . Oleh itu penggunaan unsur-unsur Falsafah pendidikan Kebangsaan amat ditekankan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah, lebih-lebih lagi keempat-empat unsur ini amat dititkberatkan dalam mata pelajaran Sejarah kerana sejarah merupakan suatu kajian tentang peristiwa yang benar-benar berlaku. ( Arba’iyah mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, 2002 ) . Sejarah amat penting dalam menanamkan sifat cinta akan bangsa dan negara dan untuk tujuan ini juga, unsur- unsur Falsafah Pendidikan kebangsaan perlulah ditekankan dalam pendidikan Sejarah.

Segala unsur-unsur ini dapat diterapkan kepada pelajar-pelajar melalui pendidikan di sekolah yang dapat melahirkan pelajar-pelajar yang berwawasan dan cemerlang dari segi kekuatan diri dan keteguhan peribadi secara mental mahupun fizikal. Maka melalui unsur-unsur ini yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, satu analisis dapat dibuat secara sistematik bedasarkan set pengajaran yang diajar di sekolah. Berdasarkan jadual 1 serta empat set pengajaran dan pembelajaran daripada topik yang dipilih dalam mata pelajaran Sejarah Tingkatan Lima, telah dibuat satu analisis dan penjelasan tentang cara unsur-unsur Falsafah Pendidikan Kebangsaan diaplikasikan atau diterapkan melalui proses pengajaran dan pembelajaran.

2.0 Penerapan Unsur Jasmani dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran

Jasmani memerihalkan tentang pergerakan tubuh badan atau kebendaan seseorang individu. Kepentingan elemen ini amat berkait rapat dengan kemampuan seseorang dalam menggerakkan pancaindera dan otot-otot tubuh badan manusia. Kecerdasan jasmani dapat diukur dengan kebolehupayaan seseorang itu dalam melakukan sesuatu tugas dengan jayanya. Elemen ini tidak hanya penting di sekolah malahan amat penting sekali selagi seseorang itu hayatnya masih lagi di kandung badan. Malah nilai jasmani ini amat dititikberatkan dalam kehidupan supaya seseorang itu mampu bersosial dengan masyarakat setempat.

Dalam FPK telah diterapkan dengan nilai jasmani yang akan diajar di kalangan para pelajar. Hal ini bertepatan dengan perlaksanaan di dalam P&P yang terkandung untuk Kemahiran Berfikir secara Kreatif dan Kritis (KBKK). Guru perlu menekankan pelbagai aspek yang berkaitan dengan jasmani supaya dapat melahirkan pelajar yang terbilang sahsiah diri. Para pelajar mengambil peluang di dalam P & P ini dengan mengasah dan melatih diri sendiri supaya dapat memajukan diri di samping dapat diadaptasi oleh para pelajar dalam kehidupan mereka.
Berdasarkan Jadual dan Rancangan Pengajaran bagi set satu yang mana penerapan unsur jasmani melalui P&P dalam matapelajaran sejarah ini juga wujud dan telah diterapkan oleh para guru di kalangan para pelajar. Sehubungan dengan itu penterjemahan melalui kaedah KBKK juga berkaitrapat dengan proses P&P dan sebagai contoh dalam tajuk memahami peranan dan sumbangan Malaysia diperingkat antarabangsa dalam sukatan pelajaran sejarah tingkatan 5.

Dalam rancangan mengajar satu, subtajuk menyatakan penubuhan pertubuhan antarabangsa dan matlamatnya terdapat juga unsur jasmani mengenai kemahiran kreatif dan kritis dapat ditonjolkan dalam proses P&P iaitu menerusi aktiviti berkumpulan di kalangan pelajar. Setiap kumpulan tersebut di bahagikan kepada beberapa kumpulan untuk membina peta minda berdasarkan nota dan penerangan yang telah di beri oleh guru. Para pelajar perlu berfikir sendiri tentang idea untuk mengalihkan nota berbentuk teks ini kepada peta minda yang lebih menarik dan mudah di fahami apabila dibaca. Kemahiran yang terlibat adalah mereka perlu menyelesaikan masalah mereka sendiri secara bijak berdasarkan garis panduan yang telah diberikan oleh guru. Para pelajar juga perlu menunjukkan kemampuan mentafsir peta minda dan menerangkannya.

Proses untuk melukis peta minda ini perlu menggerakkan keseluruhan pancaindera. Antara pancaindera dan pergerakan yang digunakan untuk melukis peta ini adalah mata untuk melihat, mulut untuk berkomunikasi antara satu sama lain dan pergerakan tangan untuk menulis nota. Dalam penghasilan ini secara tidak langsung telah melibatkan penterjemahan KBKK iaitu kemahiran menyatakan penubuhan pertubuhan antarabangsa dan matlamatnya. Selain itu juga para pelajar dapat juga kemahiran menghafal dan memahami fakta selain dapat menyenaraikan dasar-dasar luar Malaysia.

Setelah pelajar dapat menyiapkan peta minda sambil dapat menguasai fakta-fakta mengenai dasar luar Malaysia, setiap kumpulan yang telah menghasilkan carta tersebut dengan memasukkan semua fakta penting akan membentangkan tugasan mereka kepada guru dan rakan-rakan didalam kelas. Oleh yang demikian, para pelajar akan diterapkan dengan kemahiran untuk bercakap dan berucap dengan penuh berkeyakinan di hadapan rakan-rakan. Semasa proses pembentangkan tersebut, para pelajar juga dapat menggigat dengan baik semua fakta-fakta yang berkaitan. Proses pembentangan ini melibatkan unsur jasmani seperti bahasa atau pergerakan badan untuk menarik perhatian rakan-rakan serta guru dan mulut menerangkan hasil penyelidikan yang dilaksanakan dalam kumpulan. Dalam hal ini unsur KBKK yang diterapkan ialah kemahiran berkomunikasi dan kemahiran menceritakan semula apa yang telah difahami daripada analisis yang telah dijalankan bersama kumpulan. Secara tidak langsung juga pelajar akan lebih memahami serta dapat menganalisis sesuatu peristiwa berdasarkan fakta yang di perolehi.

Dalam set pengajaran kedua, unsur jasmani dapat dilihat menerusi perbincangan antara para pelajar untuk menyatakan peranan dan sumbangan Malaysia di dalam pertubuhan antarabangsa. Perbincangan adalah lebih kepada perkongsian idea hasil daripada pembacaan dan analisis fakta. Unsur KBKK yang ada dalam perbincangan ini mengandungi nilai menghubungkaitkan antara fakta yang diperolehi. Hasil pembacaan analisis pembacaan akan dihujah dan diperdengarkan kepada rakan-rakan dalam perkongsian maklumat yang diperolehi hasil pembacaan dan penambahan ilmu daripada proses P&P. Cara pembentangan yang betul dan berkesan diajar dan diterapkan oelh guru dalam diri pelajar. Secara tidak langsung para pelajar akan mendapat pengalaman baru bagi menghadapi masyarakat sekeliling walaupun usia pelajar yang masih muda.

Terdapat juga nilai-nilai yang diterapkan dalam proses P&P yang memberi kesan kepada para pelajar seperti sifat keberanian dan kerajinan. Sifat keberanian dan sifat kerajinan akan disemai dalam jiwa dan diri para pelajar jika mereka dapat menguasai sifat-sifat murni ini. Tambahan pula sifat-sifat ini wujud semasa proses pembentangan dijalankan atau dilaksanakan di dalam kelas. Sifat keberanian dalam diri setiap pelajar ini penting untuk berdiri di hadapan guru dan rakan-rakan lain semasa menyampaikan pembentangan. Semasa pembentangan, seluruh anggota badan bergerak untuk melakukan tugas masing-masing. Dalam masa yang sama para pelajar akan dapat menunjukkan keterampilan diri yang kemas dan berkeyakinan semasa berucap dihadapan.

Selain sifat keberanian, sifat kerajinan juga diterapkan dalam proses P&P di dalam kelas. Hal ini dibuktikan melalui hasil kerja yang pelajar perlu lakukan sebelum menyampaikan pembentangan di hadapan guru dan rakan-rakan mereka. Para pelajar perlu menguasai kemahiran membaca, menganalisis dan mengeluarkan fakta dari buku untuk pembentangan. Perlakuan ini memerlukan sifat kerajinan dan sekiranya sifat ini tidak diterapkan dalam diri setiap pelajar, maka para pelajar mungkin akan menghadapi kesukaran ketika menyampaikan pembentangan di hadapan guru dan rakan-rakan mereka sekaligus mengundang kesulitan di masa hadapan. Berkemungkinan besar, kegagalan yang dialami oleh pelajar seperti ini bukan sahaja sebagai pelajar tetapi sebagai anggota masyarakat kerana mereka berasa amat malu dengan kejadian tersebut.

Dalam set pengajaran ketiga, unsur jasmani yang boleh diterapkan oleh guru ialah sesi perbincangan ataupun soal jawab antara guru dengan pelajar-pelajarnya bagi menjelaskan faedah yang diperolehi Malaysia dalam pertubuhan antarabangsa. Hal ini terbukti di mana semasa sesi perbincangan soal jawab, para pelajar diminta untuk mengeluarkan hujah dan pendapat dalam menjana idea yang melibatkan pendengaran iaitu telinga, penghujahan yang memerlukan suara iaitu mulut dan pendengaran yang jelas iaitu telinga. Aktiviti ini memerlukan pancaindera berfungsi dalam keadaan yang baik dan sempurna dalam menjayakan sesi soal jawab ini. Secara tidak langsung pelajar-pelajar dapat memepelajari dan didedahkan tentang konsep komunikasi yang berkesan di dalam proses P&P. Sehubungan dengan itu, nilai yang diterapkan dalam proses P&P ini ialah kesyukuran terhadap penciptaNya yang telah mengurniakan nikmat yang cukup sempurna kepada para pelajar iaitu kemampuan berkomunukasi dengan baik.

Dalam sesi soal jawab ini juga, pelajar-pelajar boleh menanyakan beberapa soalan ataupun kemusykilan yang dihadapi semasa proses P&P. Dengan ini, pelajar akan lebih memahami dan mengetahui lebih lanjut tentang peranan dan sumbangan Malaysia di peringkat serantau. Oleh yang demikian, guru perlulah bersedia menjawab soalan-soalan yang diutarakan oleh pelajar-pelajarnya semasa proses P&P sedang dijalankan.

Akhir sekali, dalam rancangan keempat, unsur jasmani yang boleh diterapkan ialah menjalankan kuiz bagi membuktikan keberkesanan sumbangan Malaysia dalam pertubuhan antarabangsa. Terdapat empat atau lima soalan yang perlu dijawab oleh para pelajar dan mereka perlu menjawab dalam masa 10 minit. Mereka perlu menggunakan masa yang diberikan secukupnya supaya semua soalan dapat dijawab. Secara purata para pelajar perlu menjawab setiap soalan selama 2 minit hingga 2 minit 30 saat bergantung kepada jumlah soalan. Nilai yang diterapkan dalam aktiviti ini ialah menepati masa. Hal ini penting bagi pelajar kerana masa memainkan peranan penting semasa menjawab peperiksaan. Mereka perlu lebih peka dengan masa yang bukan sekadar semasa peperiksaan tetapi juga dalam kehidupan seharian supaya tidak mensia-siakan masa yang diberikan umpama pepatah Melayu masa ibarat emas.

Selain itu terdapat juga sikap hormat-menghormati kerana jika diabaikan, nilai ini akan mengganggu para pelajar yang menduduki ujian akibat daripada percakapan semasa menduduki ujian sekaligus keadaan ini akan menimbulkan ketidakselesaan bagi rakan-rakan yang lain. Oleh yang demikian tindakan menghormati orang lain dengan tidak bercakap semasa menduduki ujian akan menyenangkan semua pihak dalam menjawab ujian dengan tenang. Keputusan yang cemerlang mungkin akan dicapai dengan mengamalkan sikap hormat-menghormati antara satu sama lain.

3.0 Penerapan Unsur Emosi dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran
Unsur emosi dalam Falsafah Pendididkan Kebangsaan dapat dikelaskan sebagai kecerdasan emosi, iaitu dari aspek yang mempunyai perasaan yang tenang dan fikiran yang baik serta cenderung kearah pemikiran yang positif. Mereka yang mempunyai emosi yang baik akan dapat mengawal diri dan tingkah laku dan lebih cenderung kearah perbuatan yang dapat membangunkan potensi diri serta dapat menghadapi segala masalah dengan tenang dan positif. Mengikut Mahmood Nazar Mohamad dalam buku Pengantar Psikologi, 1992, emosi boleh ditakrifkan sebagai suatu keadaan yang dialami oleh manusia yang melibatkan beberapa proses fisiologi, diri, dan psikologi.

Unsur emosi dalam proses pengajaran dan pembelajaran seperti yang ditekankan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah amat penting kerana dapat melahirkan parasaan yang berkaitan dengan tajuk yang akan diajar oleh guru terutamanya dalam mata pelajaran Sejarah. Dalam kurikulum Pendidikan Sejarah, unsur emosi ini amatlah penting kerana melalui pembelajaran mata pelajaran Sejarah, pelajar dapat menghayati serta menghargai peristiwa sejarah yang berlaku dalam negara dan disamping itu juga para pelajar akan mengingati jasa para tokoh yang telah bersusah-payah untuk mendapatkan kemerdekaan tanah air. Para pelajar juga akan menghargai dan mengingati jasa para pejuang tanah air untuk menentang para penjajah. Oleh kerana emosi mempengaruhi tingkah laku, maka aspek ini perlu diterapkan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah supaya pelajar dapat membentuk emosi yang stabil dan terkawal.

Dalam set pengajaran 1, tajuk yang dipilih dalam sesi pengajaran ialah Malaysia dan kerjasama antarabangsa daripada tema Malaysia dan kerjasama masyarakat antarabangsa. Tajuk ini mengandungi empat sub tajuk yang utama iaitu dasar luar Malaysia, Malaysia dalam pertubuhan antarabangsa, Malaysia dalam pertubuhan serantau, dan cabaran masa depan. Setiap tajuk ini mempunyai set perancangannya yang tersendiri. Dalam set pengajaran 1 yang bertajuk dasar luar Malaysia, pelajar dapat menyatakan dasar luar Malaysia dan menyatakan asas penggubalan dasar luar Malaysia. Para pelajar juga dapat menyenaraikan kepentingan dasar luar dan mengetahui tentang isu-isu yang berlaku antara Negara Malaysia dengan negara-negara lain.

Dalam tajuk peranan dan sumbangan Malaysia dalam pertubuhan antarabangsa ini, para pelajar akan diterapkan dengan nilai emosi supaya menjadi lebih bersikap terbuka, mempunyai sifat tolong-menolong antara satu sama lain, menerapkan diri dengan sifat bekerjasama, dan juga menanamkan sifat penyayang. Ini kerana dalam tajuk ini para pelajar akan diajar tentang asas penggubalan dasar luar Malaysia, kepentingan dasar luar Malaysia, dan juga perkembangan dasar luar Malaysia. Segala kepentingan dalam dasar luar Malaysia ini akan melahirkan nilai emosi yang positif terhadap diri pelajar. Inilah yang ditegaskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan kerana dengan adanya nilai emosi yang positif dalam diri setiap pelajar maka mereka akan berusaha untuk memajukan diri sendiri sekaligus akan melahirkan masyarakat yang cemerlang, gemilang, dan terbilang.

Contoh dasar-dasar yang telah diperkenalkan oleh para pemimpin kita ialah Dasar Berkecuali, Dasar Kerjasama Serantau, Dasar Pandang ke Timur, dan banyak lagi. Sebagai contoh diambil Dasar pandang ke Timur unutk dikaitkan bagaimana unsur emosi ini diterapkan dalam diri pelajar, dasar ini telah di perkenalkan oleh Dr. Mahathir kerana beliau ingin mengubah cara pemikiran masyarakat Malaysia dan juga cara bekerja dan menjadikan orang-orang Jepun dan Korea sebagai contoh yang terbaik dalam menjalankan tugas. Secara tidak langsung para pelajar akan diserapkan dengan nilai menepati masa dan bersungguh-sungguh dalam menjalankan tugas. Sikap seperti inilah yang mampu untuk melahirkan para pelajar yang mempunyai emosi positif dan ini adalah bertepatan dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Dalam set pembelajaran dua pula tajuk yang akan diajar kepada para pelajar ialah Malaysia Dalam Pertubuhan Antarabangsa seperti Komanwel, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Pertubuhan Negara-negara Berkecuali, dan Negara-negara Selatan Pertubuhan Persidangan Islam ( OIC ). Dalam tajuk ini juga para pelajar akan diajar tentang peranan dan sumbangan Malaysia dalam pertubuhan antarabangsa serta menyenaraikan tokoh-tokoh yang telah menyinari pentas dunia. Melalui pembelajaran ini para pelajar akan diterapkan dengan nilai emosi menghargai para tokoh yang telah memperkembangkan Negara Malaysia kearah mencapai kemajuan. Sebagai contoh kita lihat penglibatan Malaysia dalam Komanwel yang bermatlamatkan mengadakan kerjasama di antara negara-negara anggota dalam bidang politik, dalam PBB untuk mengawal keamanan dan kesejahteraan bersama dunia, Pertubuhan Negara-negara Berkecuali yang bermatlamat menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah semua negara, dan OIC untuk mengeratkan perpaduan dan kerjasama dalam kalangan umat islam, ini semua akan dapat melahirkan para pelajar yang akan mempunyai sifat menghormati terhadap diri sendiri dan juga orang lain, melahirkan sifat perpaduan kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang multi etnik, multi bahasa, dan multi budaya. Oleh itu dengan penglibatan Malaysia dalam pertubuhan antarabangsa ini secara tidak langsung akan melahirkan emosi posotif para pelajar dalam proses pembelajaran seperti yamg dinyatakan tadi.

Dalam set pengajaran yang ketiga pula yang bertajuk Malaysia dalam pertubuhan serantau, guru akan membincangkan tentang tujuan ASA, MAPHILINDO, dan ASEAN, menyenaraikan peranan dan sumbangan Malaysia dalam pertubuhan serantau, dan menyatakan faedah yang diperoleh oleh Malaysia sebagai anggota pertubuhan serantau. Dalam tajuk pembelajaran ini para pelajar akan diterapkan dengan nilai emosi yang berkaitan dengan sifat untuk menghormati orang lain, dan menolak keganasan. Ini kerana keganasan merupakan jalan kepada kehancuran kepada sesebuah negara disamping mencabuli hak asasi manusia.

Maka sebab itulah konsep ZOPFAN digunakan dalam proses pembelajaran ini kerana matlamat utama ZOPFAN ialah untuk memastikan kawasan ASEAN bebas daripada ancaman senjata nuklear dan menjamin keamanan dan kestabilan politik di Asia Tengggara. Maka dengan penerapan nilai emosi seperti ini akan dapat melahirkan para pelajar yang cinta akan negara dan tanah air serta menanam sifat patriotisme dan sentiasa berganding bahu dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Sifat sayang akan negara ini bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan kerana dengan sifat ini akan lahir masyarakat yang bersatu padu dan semangat untuk memajukan negara.

Dalam set pembelajaran yang keempat pula guru akan mengajar tajuk cabaran masa hadapan yang mengandungi ICT, k-ekonomi, dan k-society. Dalam pembelajaran ini guru akan menerangkan tentang kepentingan ICT, K-ekonomi, dan K-society. Guru juga akan menyuruh para pelajar memahami usaha Malaysia menghadapi cabaran kontemporari dan masa depan ke arah negara maju. Para pelajar akan diterangkan tentang betapa pentingnya ICT dan pengetahuan dalam ilmu ekonomi. Pengetahuan ini sangat penting dalam membangunkan negara dan jika kita tiada pengetahuan dalam ICT maka kita akan ketinggalan dalam era globalisasi. Maka penerapan nilai emosi terhadap pelajar dalam bidang ICT adalah sangat penting bagi memastikan pelajar berminat untuk mempelajari dan mendalami ilmu ICT supaya kita tidak ketinggalan dalam bidang ICT ini sekaligus dapat membangunkan negara dalam segala bidang.

Guru bertanggungjawab dalam menceritakan tentang kepentingan penggunaan ICT pada zaman sekarang kerana ia boleh dikatakan sebagai tuntutan dalam era globalisasi. Apabila guru menjalankan tugasnya dalam menerangkan kepentingan penggunaan ICT ini maka secara tidak langsung emosi untuk mengetahui dalam segala bidang akan timbul. Jadi dapat diterangkan disini bahawa tajuk ini merupakan tajuk yang amat penting dalam melahirkan emosi ingin tahu dalam kalangan pelajar. Oleh itu apabila pelajar mempunyai sifat ingin tahu maka pelajar tersebut akan cuba untuk mempelajari sesuatu ilmu itu untuk memenuhi tuntutan dirinya. Apabila pengetahuan dan kemahiran ini sudah ada pada diri pelajar maka secara tidak langsung para pelajar tersebut akan mempraktikkannya dan ini akan memperkembangkan potensi para pelajar dalam bidang ICT ini, maka matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan juga akan tercapai.

Kesimpulannya, emosi adalah amat penting untuk diberi penekanan dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam semua subjek yang diaajar kerana melalui pendidikan di sekolahlah, pembentukan sahsiah yang amat berhubungn kait dengan emosi dapat dibentuk dalam diri pelajar. Sahsiah yang cemerlang ini seterusnya akan membantu dalam suatu proses pemerolehan dan pemindahan pengetahuan, nilai murni, kemahiran serta berterusan sehingga ke akhir hayat. Selain itu, timbul perasaan bangga terhadap negara dan ingin berbakti terhadap negara. Falsafah Pendidikan Kebangsaan ada menyatakan bahawa pendidikan adalah berpusatkan pada murid iaitu pendidikan bukan bersifat indoktrinasi atau ‘ imposition’ tetapi lebih menuruti prinsip perkembangan psikologi manusia ( Sufean Hussin, Pendidikan di Malaysia, 1996). Hal ini bermaksud, melalui pendidikan para pelajar dapat membentuk sifat kendiri yang positif dan cemerlang. Oleh hal yang demikian, perasaan bangga kepada negara yang diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat melahirkan pelajar yang akan berbakti kepada negara dan bangsa kelak.

Falsafah pendidikan Kebangsaan juga amat mementingkan unsur emosi dan diterangkan dalam setiap subjek yang diajar kerana melaluinya para pelajar dapat melahirkan perasaan yang sewajarnya terhadap sesuatu keadaan tersebut, dan seterusnya ini dapat membantu membentuk identiti pelajar yang penuh dengan kepintaran EQ. Melalui ulasan dan huraian guru, unsur emosi yang dapat diaplikasikan dalam pengajaran dan pembalajaran bagi tajuk ini ialah prihatin terhadap isu-isu kenegaraan.

Selain itu, melalui penggunaan unsur emosi dalam pengajaran dan pembelajaran, para pelajar juga akan dapat melahirkan perasaan menghargai diri sendiri dan orang lain. Melalui setiap set pengajaran dan pembelajaran, para pelajar telah mempelajari tentang kepentingan sumbangan diri dan masyarakat terhadap tanah air termasuklah dari aspek penentangan dan juga kerjasama dalam membangunkan negara. Jadi, pelajar akan mendapat tahu tentang kepentingan diri sendiri kepada kemajuan tanah air. Hal ini akan menyebabkan pelajar akan menghargai diri sendiri dan juga masyarakat di sekelilingnya. Ini seterusnya dapat melahirkan suatu persekitaran yang baik dan terjamin. Dengan lahirnya perasaan sebegini dalam diri pelajar apabila memepelajari sesuatu topik yang baru, seseorang pelajar itu akan menjadi lebih matang dalam pemikiran dan pembentukkan sahsiahnya.

4.0 Penerapan Unsur Rohani dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran
Rohani bermaksud hal-hal yang berkaitan dengan jiwa dan dalaman.Hal ini jelas dapat merungkai kepentingan nilai rohani di dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas terutama terhadap pelajar-pelajar. Menerusi Falsafah Pendidikan Negara, peranan rohani amat jelas ditekankan. Hal ini dapat dibuktikan melalui penyataan Falsafah Pendidikan Negara iaitu mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, jasmani, emosi dan rohani berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan. ( Abu Bakar Nordin dan Ikhsan Othman,2003). Di sini kita dapat melihat bahawa kepentingan rohani di dalam pembentukan seorang insan yang seimbang. Andai kata aspek rohani diabaikan maka matlamat untuk melahirkan insan yang seimbang akan terjejas kerana rohani merupakan salah satu yang menyeimbangkan diri seseorang itu terutamanya pelajar.

Di dalam skop perbincangan memahami peranan dan sumbangan Malaysia di peringkat antarabangsa dapat dilihat betapa pentingnya nilai rohani dapat diselitkan di dalam proses pembelajaran dan pengajaran dalam kelas. Hal ini kerana para pelajar perlu memahami apa yang berlaku di sebalik setiap sumbangan dan peranan yang dimainkan negara dan pemimpin dalam hubungan antarabangsa Malaysia. Di sini juga kita dapat melihat bagaimana nilai rohani yang perlu diterapkan dan diajar kepada pelajar perlu ditumpukan bagi melahirkan insan yang cemerlang bukan sahaja dari segi akademik tetapi juga dari segi rohaniah.

Perbincangan mengenai memahami peranan dan sumbangan Malaysia di peringkat antarabangsa merupakan satu tajuk yang menarik untuk diketahui oleh pelajar terutama di dalam cabaran negara Malaysia dalam menghadapi dunia globalisasi dan bagaimana hubungan antarabangsa Malaysia terutamanya di dunia tanpa sempadan sekarang. Di dalam membincangkan dasar luar Malaysia, hasil pembelajaran yang boleh didapati ialah bagaimana pelajar tersebut dapat memahami dasar luar negara Malaysia. Di sini kita akan dapat melihat bagaimana peranan rohani yang boleh diterapkan ke dalam proses pengajaran dan pembelajaran.Di sini pelajar akan diajar mengenai asas penggubalan, kepentingan dasar luar negara dan perkembangan dasar luar negara Malaysia akan dapat memberikan pelbagai nilai dan pengajaran kepada pelajar tentang kepentingan rohani di dalam sub tajuk ini. Melalui asas penggubalan dasar luar negara, para pelajar akan dapat memahami konsep bagaimana dasar luar negara Malaysia digubal dan kaitannya dengan aspek rohani yang mereka perolehi. Di sini para pelajar akan dapat bekerjasama sesama sendiri terutamanya apabila mereka dibahagikan mengikut kumpulan untuk membincangkan dasar-dasar luar negara yang telah diperkenalkan oleh Malaysia.

Selain itu, dari segi menyenaraikan kepentingan dasar luar negara dan perkembangan dasar luar negara, para pelajar akan menyelami perkembangan dan kepentingan dasar luar negara Malaysia kepada negara. Di sini nilai rohani yang pelajar boleh dapat ialah bekerjasama dan meningkatkan lagi silahturahim sesama pelajar. Di samping itu, para pelajar juga mampu untuk menyemai nilai patriotisme di dalam diri mereka. Hal ini selaras dengan prinsip Pelan Induk Pembangunan Pendidikan yang mementingkan nilai rohani di dalam menyeimbangkan seseorang pelajar. ( Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, 2006 ).

Seterusnya ialah sub tajuk memahami peranan dan sumbangan Malaysia di peringkat antarabangsa. Di bawah sub tajuk ini pelajar akan diajar untuk menyatakan penubuhan pertubuhan antarabangsa dan matlamatnya, menyatakan kepentingan peranan dan sumbangan Malaysia di dalam pertubuhan antarabangsa, menjelaskan faedah yang diperoleh Malaysia dalam pertubuhan antarabangsa serta yang terakhir pelajar akan diajar bagaimana membuktikan keberkesanan sumbangan Malaysia di dalam pertubuhan antarabangsa itu sendiri.

Pertubuhan antarabangsa yang akan dikaji pelajar ialah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ( PBB) , Pertubuhan Negara-Negara Komonwel ( Komonwel), Pertubuhan PersidanganNegara-Negara Islam ( OIC ) serta Pertubuhan Negara-Negara Berkecuali ( NAM). Dengan mengkaji dan mengetahui peranan Malaysia di dalam keempat-empat pertubuhan antarabangsa ini, pelajar akan tahu bahawa peranan besar yang dimainkan Malaysia dan pemimpin-pemimpin Malaysia di peringkat antarabangsa. Hal ini jika dilihat dari sudut rohani, pelajar akan tahu bagaimana untuk mencintai negara disamping memupuk nilai patriotisme. Hal ini kerana mereka dapat menyelami peranan aktif Malaysia di pertubuhan-pertubuhan antarabangsa yang tidak terhad hanya sekadar menjadi ahli biasa bahkan memainkan peranan yang penting terhadap dunia sejagat.

Sememangnya penting bagi para pelajar untuk mencintai negara dan mempunyai semangat kecintaan kepada negara kerana unsur-unsur rohani ini akan menjadikan para pelajar ini mengetahui betapa bertuahnya mereka hidup dan tinggal di Malaysia. Hal ini akan memupuk semangat rasa cinta kepada negara di dalam diri pelajar. Di dalam menjelaskan faedah-faedah yang diperolehi oleh Malaysia di dalam pertubuhan-pertubuhan antarabangsa ini, para pelajar akan dapat mengetahu dengan lebih lanjut bagaimana penglibatan aktif Malaysia di peringkat antarabangsa dapat memeberikan faedah yang besar kepada negara. Dari konsep rohani, melalui pelajaran ini pelajar akan diberikan kerja berkumpulan yang menghendaki mereka mencari faedah-faedah yang telah Malaysia perolehi daripada pertubuhan antarabangsa. Hal ini akan memupuk semangat kerjasama dan tolong-menolong di kalangan para pelajar itu sendiri dan ia penting kerana ia akan membiasakan pelajar tersebut untuk dapat bekerjasama antara sesama sendiri dan bersikap profresional terutama di dalam kerja.

Seterusnya ialah aspek rohani dari sub tajuk memahami peranan dan sumbangan Malaysia dalam pertubuhan serantau. Di sini pertubuhan serantau yang dimaksudkan ialah ASA yang dianggotai Malaysia, Thailand, dan Filipina sementara MAPHILINDO pula dianggotai oleh Malaysia, Filipina dan Indonesia. Akhir sekali skop pembelajaran ialah Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara atau dikenali sebagai ASEAN yang turut dianggotai Malaysia. Dari segi modul pembelajaran, terdapat empat modul yang akan digunakan iaitu menyatakan pertubuhan yang dianggotai Malaysia di peringkat serantau, menyatakan faedah-faedah yang diperolehi Malaysia di dalam pertubuhan-pertubuhan ini, menghuraikan peranan dan sumbangan Malaysia di dalam ASEAN dan akhir sekali ialah menjelaskan peranan tokoh-tokoh Malaysia di dalam penjanaan idea di dalam pertubuhan-pertubuhan serantau ini.

Dari segi menyatakan pertubuhan yang diperolehi Malaysia di dalam peringkat serantau. Di sini, pelajar akan diminta menyenaraikan nama pertubuhan tersebut seorang demi seorang. Dari aspek rohani ia akan membantu pelajar tersebut mempunyai keyakinan diri apabila ditanya oleh guru dan akan menjadikan pelajar ini lebih cerdas kerana kebiasaannya soalan seperti ini memerlukan pelajar itu berfikir denga cepat dan tangkas. Hal ini akan membentuk satu inisiantif di dalam diri pelajar tersebut untuk lebih kerap membaca dan ini dari segi rohani dan dalaman pelajar itu akan sentiasa cuba untuk melakukan sesuatu yang ke hadapan daripada orang lain dan ini bagus untuk pelajar tersebut terutamanya.

Seterusnya ialah pelajar-pelajar diminta di dalam kumpulan sekali lagi untuk menyatakan faedah-faedah yang diperolehi Malaysia daripada pertubuhan-pertubuhan serantau ini. Di dalam aktiviti berkumpulan ini, selain dapat memupuk kerjasama, pelajar juga diberi pendedahan untuk lebih menghargai peranan Malaysia terutamanya di peringkat serantau. Hal ini sangat penting kerana pelajar sebagai warganegara Malaysia perlu didedahkan dengan faedah-faedah serta hasil yang Malaysia dapat melalui pertubuhan serantau terutamnya ASEAN. Malah mereka juga dapat mengetahui apakah faedah yang dikecapi mereka tanpa sedar melalui penglibatan Malaysia di dalam pertubuhan ini.

Selain itu, pelajar juga diminta memberi penjelasan mengenai peranan tokoh-tokoh Malaysia di dalam penjanaan idea di dalam pertubuhan-pertubuhan serantau ini. Malaysia sememangnya terkenal sebagai sebuah negara yang cukup aktif di dalam pertubuhan serantau ini terutamanya ASEAN. Hal ini dibuktikan oleh pengiktirafan negara-negara anggota ASEAN terhadap Malaysia terutama tokoh-tokoh Malaysia di dalam penjanaan idea mereka terhadap perkembangan ASEAN. Di dalam hal ini, guru tersebut boleh meminta pelajar menjelaskan peranan tokoh-tokoh Malaysia dan idea-idea mereka terhadap pertubuhan serantau ini. Nilai rohani juga boleh diterapkan kepada pelajar iaitu menghargai pemimpin-pemimpin negara. Di dalam konteks ini, para pelajar akan diajar dan dididik untuk menghargai jasa dan peranan penting pemimpin-pemimpin Malaysia di dalam menajnakan idea untuk pertubuhan-pertubuhan serantau ini. Di sini guru boleh menerangkan peranan pemimpin seperti bekas Perdana Menteri, Perdana Menteri, menteri luar dan pemipin-pemimpin Malaysia yang lain.

Antara yang boleh diceritakan ialah idea ZOPFAN yang merupakan zon industri bebas dari yang menjadikan rantau Asia Tenggara menjadi zon bebas, aman dan berkecuali dan di sini rakyat Asia Tenggara berhak menentukan nasib negaranya sendiri. Di sini secara tidak langsung dari segi unsur rohani, pelajar dididik untuk mencintai keamanan dan menghormati hak asasi serta menghormati negara-negara lain.

Akhir sekali ialah dari segi tajuk memahami usaha Malaysia menghadapi cabaran kontemporari dan masa depan ke arah negara maju. Di bawah sub tajuk ini terdapat tiga modul yang akan dilaksanakan oleh guru-guru terhadap pelajarnya. Antaranya ialah menyatakan maksud ICT, K-ekonomi dan K-society dalam era globalisasi, menjelaskan langkah-langkah Malaysia menghadapi globalisasi dan menghubungkaitkan globalisasi terhadap Malaysia dari aspek ekonomi, sosial dan politik. Di sini jelas guru perlu menjelaskan bagaimana Malaysia menghadapi cabaran di dalam dunia tanpa sempadan ini. Melalui pengenalan dan penjelasan mengenai kepentingan ICT terhadap sosial, politik dan ekonomi Malaysia, pelajar dapat mengetahui kepentingan ICT di dalam memangkin kepada pembangunan negara Malaysia. Dari segi unsur rohani, pelajar diterapkan nilai menghargai, menghormati dan juga nilai ingin berubah serta berdikari.

Di dalam menghubungkaitkan globalisasi terhadap Malaysia dari aspek ekonomi, sosial dan politik, pelajar didedahkan dari unsur rohani iaitu menghormati dan dapat berpandangan ke hadapan. Globalisasi terhadap Malaysia sememangnya perlu ditekankan supaya dapat memberi gambaran kepada para pelajar bagaimana dunia luar dan dapat membentuk rohani pelajar tersebut lebih baik seperti mengajar mereka kepentingan berdikari di dalam dunia tanpa sempadan ini.

5.0 Penerapan Unsur Intelek dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran
Harus diketahui bahawa intelek merupakan daya pemikiran yang kritis dan kreatif dalam menganalisis sesuatu pembelajaran yang telah diajar oleh seorang guru kepada muridnya. Daya pemikiran yang kritis dan kreatif akan melahirkan pelajar yang analitik dalam memahami, mendalami dan menghuraikan pelajaran yang telah diajar. Oleh itu, pelajar yang mampu menganalisis bukan sahaja berfikiran analitik bahkan mampu melahirkan pelajar dan generasi muda yang berinovatif dan mampu berdaya saing dalam mengapai kejayaan dalam akademik.

Unsur intelek yang diterapkan kepada pelajar berdasarkan Falsafah pendidikan negara adalah memahami dan mampu menganalisis topik yang diajar oleh guru. Topik yang akan diajar kepada pelajar 5 Sains 1 adalah Memahami Peranan dan Sumbangan Malaysia di Peringkat Antarabangsa. Berdasarkan topik tersebut, guru akan memperjelaskan dan menerangkan kepada pelajar tentang sub-subtopik yang akan diajar bersandarkan kepada topik yang dibincangkan. Sebagai contohnya, guru akan menerangkan empat subtopik penting iaitu memahami dasar luar negara, memahami peranan dan sumbangan Malaysia diperingkat antarabangsa, memahami peranan dan sumbangan Malaysia dalam pertubuhan serantau dan memahami peranan dan sumbangan Malaysia dalam pertubuhan antarabangsa. Bersandarkan kepada sub-subtopik yang akan diajar oleh guru, maka diharapkan pelajar 5 Sains 1 mampu mencirikan dan menerangkan peranan dan sumbangan Malaysia diperingkat antarabangasa dengan jelas dan teratur berfokuskan topik yang diajar.

Set pengajaran yang pertama, unsur intelek yang ditekankan kepada para pelajar adalah memahami keadaan sebenar dasar luar negara Malaysia. Justeru, guru akan menerangkan kepada pelajar tentang maksud dasar luar negara dan kepentingan dasar ini kepada Malaysia berdasarkan kepada topik perbincangan utama. Sebagai contohnya, guru memperjelaskan secara terperinci dan teliti tentang kepentingan dasar luar negara kepada Malaysia berteraskan kepada objektif sebenar dasar luar negara terutamanya dari sudut politik, ekonomi dan sosial. Oleh itu, objektif pelaksanaan dasar luar Malaysia adalah bertujuan menjalinkan hubungan erat dengan negara-negara jiran , menjalinkan hubungan ekonomi dan kebudayaan dengan negara-negara lain serta menjalinkan persahabatan dengan negara-negara lain tanpa mengira ideologi. Malah, guru juga akan memperincikan tentang asas-asas yang mempengaruhi penggubalan dasar luar Malaysia seperti menunjukkan faktor-faktor yang mempengaruhi penggubalan dasar ini.

Hasil pembelajaran tersebut, pelajar mampu memahami dan menganalisis secara tepat dan betul maksud dasar luar negara yang dilaksanakan. Sebagai contohnya, mereka dapat memperjelaskan bahawa dasar luar Malaysia merujuk kepada matlamat, rancangan serta tindakan yang diambil oleh sesebuah negara apabila mengadakan hubungan dengan negara-negara lain. Selain itu, pemahaman para pelajar dapat dilihat apabila mereka mampu menyenaraikan faktor-faktor yang mempengaruhi penggubalan dasar luar Malaysia seperti faktor dalaman, faktor luaran, faktor kepimpinan dan faktor sejarah dan kebudayaan. Implikasinya, keempat-empat faktor yang mempengaruhi dasar luar Malaysia dapat dijelaskan oleh pelajar dengan cara yang teratur dan baik.

Pelajar perlu memahami peranan dan sumbangan Malaysia diperingkat antara bangsa merupakan analisis intelek dalam set pengajaran yang kedua. Secara ringkasnya, guru akan menerangkan subtopik ini secara tersusun dan teratur agar pelajar mampu mengikuti dan memahami peranan dan sumbangan Malaysia diperingkat antarabangsa. Sebelum itu, guru akan menyatakan pertubuhan-pertubuhan yang disertai oleh Malaysia melihat kepada antarabangsa. Contohnya, Malaysia telah menyertai pertubuhan antarabangsa seperti Komanwel, Pertubuhan Bansa-bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan Negara-negara Selatan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Hal ini menyebabkan guru akan menerangkan peranan dan sumbangan Malaysia dalam pertubuhan antarabangsa tersebut dan faedah yang diperolehi oleh Malaysia setelah menyertai pertubuhan antarabngsa.

Natijah daripada pembelajaran tersebut, pelajar mampu menyatakan secara tepat dan ilmiah tentang penubuhan pertubuhan yang disertai oleh negara Malaysia diperingkat antarabangsa. Buktinya, para pelajar mampu menyatakan pertubuhan antarabangsa dan matlamat utama pertubuhan antarabangsa diwujudkan. Secara khususnya, para pelajar dapat menganalisis matlamat penubuhan pertubuhan antarabangsa seperti PBB dan OIC. Tujuan OIC disertai oleh Malaysia adalah bertujuan mengeratkan hubungan dengan negara-negara Islam di samping membantu negara-negara Islam yang mundur dari segi kebudayaan dan kependidikan. Selain itu, hasil pembelajaran daripada subtopik peranan dan sumbangan Malaysia diperingkat antarabangsa, pelajar mampu mencirikan peranan dan sumbangan yang telah diberikan oleh Malaysia kepada pertubuhan antarabangsa. Kefahaman pelajar dapat dilihat apabila mereka mampu menyatakan peranan Malaysia di peringkat antarabngsa seperti penganjuran Sukan Komanwel ke-16 pada tahun 1996. para pelajar turut dapat menjelaskan sumbangan Malaysia diperingkat antarabangasa seperti Malaysia penghantaran tentera Malaysia berkhidmat di bawah panji PBB di Kemboja (1992), Somalia (1993) dan Bosnia-Herzegovina (1994). Di samping itu, penyertaan Malaysia dalam OIC telah memberi banyak faedah kepada Malaysia seperti Bank Pembangunan Islam dan Universiti Islam Antarabangsa telah ditubuhkan di Malaysia. yang jelas, peranan dan sumbangan Malaysia perlu dihuraikan oleh pelajar menandakan mereka memahami subtopik tersebut.

Dalam set pengajaran yang ketiga, unsur intelek yang ditekankan adalah kefahaman pelajar dalam menganalisis dan menghuraikan peranan dan sumbangan Malaysia dalam pertubuhan serantau. Oleh itu, guru akan menerangkan kepada pelajar tentang pertubuhan serantau yang disertai oleh Malaysia. Antara pertubuhan serantau yang disertai oleh Malaysia adalah ASA (1961), MAPHILINDO (1963) dan ASEAN (1967). Dalam hal ini, guru akan menerangkan dan menghuraikan secara umum matlamat penubuhan pertubuhan serantau. Guru akan menjelaskan kepada pelajar matlamat utama pertubuhan MAPHILINDO pada tahun 1963. Pertubuhan ini bertujuan mengatasi permasalahan yang berlaku akibat tentangan Indonesia dan Filipina terhadap pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka. Subtopik ini turut menekankan agar guru menjelaskan sumbangan Malaysia terhadap ASEAN dan peranan tokoh dalam menyumbangkan idea kepada pertubuhan serantau.

Kesan daripada penjelasan dan penceritaan oleh guru kepada pelajar berkaitan dengan peranan dan sumbangan Malaysia dalam pertubuhan serantau, pelajar mampu menyatakan pertubuhan yang disertai oleh Malaysia dalam pertubuhan tersebut. Apa yang penting, pelajar mampu mencirikan matlamat sebenar penubuhan pertubuhan serantau seperti ASA, MAPHILINDO dan ASEAN. Pada pengakhiran pembelajaran, pelajar dapat memperjelaskan matlamat ASEAN yang merupakan sebuah penubuhan yang bermatlamatkan untuk menjalinkan hubungan dengan negara-negara jiran di Asia Tenggara malah pertubuhan ini juga bermatlamatkan menjalankan hubungan ekonomi seperti ASEAN telah mewujudkan satu kawasan perdagangan bebas ASEAN (AFTA) di mana Skim Keutamaan Tarif Sama Rata Berkesan telah dilaksanakan pada 2003. Di samping itu, para pelajar turut perlu mengingati dan mengetahui peranan tokoh Malaysia dalam penjanaan idea terhadap pertubuhan. Contohnya, Dato’ Seri Dr. Mahathir telah mencadangkan agar kawasan perdagangan bebas ASEAN (AFTA) diwujudkan. Idea yang dijana oleh mantan perdana menteri yang keempat ini telah digunapakai bermula pada tahun 2003.

Unsur intelek yang diutamakan dalam set pengajaran yang keempat ialah pelajar perlu memahami usaha Malaysia menghadapi cabaran kontemporari dan masa depan ke arah negara maju. Untuk tujuan tesebut, guru akan menerangkan dan memperjelaskan maksud teknologi maklumat (ICT), ekonomi berdasarkan pengetahuan (K-ekonomi) dan sosial berdasarkan pengetahuan (K-society) dalam era globalisasi. Guru turut menerangkan kepada para pelajar tentang cara-cara ataupun langkah-langkah yang digunakan oleh kerajaan Malaysia dalam menghadapi era globalisasi. Sebagai contohnya, kerjaan telah mewujudkan Dasar Telekomunikasi Negara yang dilaksanakan pada tahun 1994 sehingga tahun 2020. Melalui dasar tesebut, guru akan menerangkan objektif pelaksanaan dasar tesebut untuk menghadapi era globalisasi. Pun begitu, perhatian turut diberikan kepada hubungkait globalisasi terhadap Malaysia dari aspek ekonomi, politik dan sosial. Guru akan menerangkan hubungkait globalisasi yang dikatakan amat penting dalam ketiga-tiga aspek yang telah dinyatakan di atas dalam mewujudkan negara maju berpaksikan kepada Dasar Wawasan 2020.

Implikasi daripada pembelajaran subtopik keempat, pelajar mampu menerangkan fakta-fakta yang betul berkaitan dengan usaha Malaysia menghadapi cabaran kontemporari dan masa depan ke arah negara maju. Secara jelasnya, pelajar perlu memahami maksud sebenar ICT, K-ekonomi dan K-society. Justeru, pelajar perlu menjelaskan maksud ICT secara khusus dan ringkas berdasarkan kepada kefahaman sendiri. Contohnya, maksud ICT adalah teknologi maklumat yang memudahkan dan penggerakan kegiataan harian manusia. Sementara itu, K-ekonomi merupakan kemahiran dan pengetahuan dalam menggunakan teknologi maklumat untuk menjana ekonomi negara. Dalam konteks tersebut, pelajar juga perlu menghuraikan kembali lankah-langkah yang diambil oleh kerajaan Malaysia bagi menghadapi era globalisasi. Hal ini jelas apabila kerajaan telah mengadakan Dasar Wawasan 2020 dan Dasar Telekomunikasi Negara. Pelajar perlu menghuraikan kebaikan Dasar Wawasan 2020 dan Dasar Telekomunikasi dalam menghadapi era globalisasi. Sebagai contohnya, Wawasan 2020 dilaksanakan untuk mewujudkan negara maju dan melahirkan masyarakat yang berdaya saing. Pelajar juga perlu memahami pelaksanaan Dasar Telekomunikasi Negara yang merupakan salah astu dasar kerajaan untuk menghadapi era globalisasi dunia. Sebenarnya, pelajar juga perlu mengaitkan peranan era glbalisasi di Malaysia dalam kepentingannya terhadap ekonomi, sosial dan politik. Hal ini terbukti apabila sistem pendidikan Malaysia amat mementingkan teknologi bagi melahirkan pendidikan Malaysia bertaraf dunia.

No comments: